KETUA jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui persiapan pasukan menjelang aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN Hyundai 2026 menentang Vietnam Ahad ini berdepan pelbagai cabaran, terutama masalah kecederaan dan kehilangan beberapa pemain.

Cheng Hoe berkata keadaan itu sememangnya menyukarkan persiapan pasukan, namun beliau enggan menjadikan kekangan berkenaan sebagai alasan dan percaya gabungan pemain berpengalaman serta pemain muda mampu memberikan cabaran kepada Vietnam.

“Kita tahu situasinya sebelum kejohanan bermula, kita tidak mempunyai skuad yang lengkap sepenuhnya. Namun, saya yakin dengan gabungan pemain berpengalaman dan pemain muda yang ada,” katanya.

Malaysia turut kehilangan Wan Kuzain yang perlu kembali ke kelabnya, manakala beberapa pemain yang mengalami kecederaan masih belum dapat dipastikan tahap kesediaannya untuk diturunkan.

Menurut Cheng Hoe, Mohamadou Sumareh sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan dan dilihat berpeluang untuk diturunkan, namun Aliff Haiqal serta beberapa pemain lain mungkin tidak sempat pulih sepenuhnya.

“Sumareh telah mula berlatih dengan pasukan dan nampak sedia untuk esok. Manakala Aliff Haiqal dan beberapa pemain lain mungkin tidak sempat bersedia.

“Saya perlu mencari pilihan dan penyelesaian terbaik untuk kesebelasan utama esok,” katanya.

Kehilangan beberapa pemain di bahagian tengah turut memaksa Cheng Hoe mempertimbangkan pilihan daripada kelompok pemain muda, termasuk Daryl Sham, Ibrahim Manusi dan Ziad El Basheer.

Beliau percaya pemain muda berkenaan mampu memikul tanggungjawab sekiranya diberikan peluang, sambil menegaskan aspek keyakinan dan sokongan amat penting dalam menghadapi perlawanan berprofil tinggi.

Dalam masa sama, Cheng Hoe mengakui rekod peribadinya ketika berdepan Vietnam sebelum ini tidak memihak kepadanya selepas mencatat satu seri dan lima kekalahan daripada enam pertemuan.

Namun, beliau mahu pemainnya memberi fokus kepada kekuatan sendiri dan tidak terlalu memikirkan rekod atau reputasi Vietnam yang hadir sebagai juara bertahan.

“Vietnam mempunyai pasukan yang sangat baik di bawah Coach Park dan saya sangat menghormati kebolehan beliau. Mereka mempunyai beberapa pemain naturalisasi yang bagus di bahagian serangan dan hantaran bola yang pantas.

“Kami perlu berwaspada dan fokus,” katanya.

Cheng Hoe turut berharap penyokong dapat memenuhi stadium bagi memberikan motivasi tambahan kepada pemain.

“Apapun rintangannya, impian setiap pasukan adalah untuk ke final. Pemain perlu menikmati setiap momen dalam separuh akhir ini. Mereka perlu tunjukkan yang mereka layak berada di sini.

“Saya bangga dengan kumpulan pemain ini dan saya yakin mereka akan berikan segalanya esok,” katanya.