SKUAD Bawah 19 Tahun Negara (B-19) tidak berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC B20 Tahun 2023 di Uzbekistan apabila Mongolia berjaya menewaskan Sri Lanka 6-0 sekaligus mendapat tempat kedua dalam Kumpulan E.

Setelah dibelasah Korea Selatan 6-2 pada perlawanan yang berlangsung lebih awal, Malaysia perlu menunggu keputusan perlawanan antara Mongolia dan Sri Lanka bagi menentukan siapakah yang bakal mendapat tempat kedua.

Kemenangan Mongolia meletakkan mereka mengatasi Malaysia di tangga kedua dengan perbezaan jaringan sekaligus gagal ke Uzbekistan dan pulang hampa ke tanah air.

 

Dalam perlawanan menentang Korea Selatan, Malaysia bermain dengan sembilan pemain selepas dua pemain dilayangkan kad merah sekaligus menjejaskan rentak permainan pasukan.

Keputusan seri ketika menentang Mongolia meskipun menguasai permainan jelas menjadi mimpi ngeri buat Malaysia selepas akhirnya disingkirkan pasukan yang sama walaupun Mongolia masih belum layak secara merit ke Uzbekistan.

Kegagalan ini adalah satu tamparan buat skuad kendalian Hassan Sazali Waras selepas muncul juara Piala AFF B19 Tahun di Indonesia, Jun lalu dikala pasukan seperti Vietnam dan Indonesia mempunyai peluang untuk layak.

Banyak yang perlu diperbaiki dan dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengenalpasti apakah punca sebenar kegagalan ini.