PELUMBA berpengalaman, Ahmad Afif Amran akui perjuangan untuk mempertahankan gelaran kejuaraan tidaklah semudah yang disangkakan.

Katanya, persiapan musim baharu ini bukan sekadar kemantapan fizikal dan mental mahupun persediaan jentera yang dapat memberikan persaingan yang optimum kepada para pelumba lain malah juga merangkumi persediaan dari segi strategi.

“Pelan saya untuk musim ini seperti biasa, akan menggunakan pengalaman dan pengetahuan saya untuk buat yang terbaik.

“Sebagai seorang senior dalam pasukan saya, saya juga memikul tanggungjawab untuk melatih dan membimbing rakan sepasukan saya terutamanya yang lebih muda untuk menjadikan kejayaan pasukan, matlamat bersama.

“Komunikasi adalah penting bagi saya dan pasukan saya. Sebagai seorang pelumba, saya menjanjikan persembahan terbaik dengan strategi-strategi yang telah dikemaskini,” katanya meraih enam podium termasuk tiga kemenangan.

Musim ke-30 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan membuka tirainya untuk musim baharu pada 25 Februari 2023 di Litar Antarabangsa Sepang.