SKUAD ragbi 7 sebelah (7’s) lelaki berdepan laluan paling getir di Sukan SEA 2025 apabila terpaksa menempuh tiga perlawanan padat dalam sehari, memaksa mereka wajib menang dua aksi awal untuk mendapatkan tiket ke final.
Ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, format liga sepusingan kali ini lebih mencabar namun tetap yakin barisan Bunga Raya mampu merebut emas.
“Mengikut jadual baharu, skuad negara akan berdepan Singapura, Filipina dan Thailand pada hari pembukaan, jadi fokus kita mendapatkan kemenangan awal sebagai kunci untuk memastikan tiket final tidak terlepas ” kata Nik Safuan, sambil mengesahkan skuad negara akan berlepas ke Bangkok. Khanis ini.
Beliau berkata, tuan rumah bagai merancang jadual dengan baik, apabila meletakkan skuad negara mendepani Filipina yang akan dibarisi sepenuhnya pemain warisan sebelum menentang mereka.
Malaysia bagaimanapun berbekal keyakinan tinggi berdasarkan prestasi semasa dan rekod manis menjuarai edisi Kuala Lumpur 2017 selepas menundukkan Singapura 22-7.
Sebelum ini, saingan ragbi dibahagikan kepada dua kumpupan, namun selepas penarikan diri Indonesia, penganjur menukar format pertandingan kepada round robin.
Dengan jadual padat dan cabaran berat menanti, skuad negara perlu tampil tanpa salah langkah jika benar-benar mahu mengulangi detik emas yang pernah menjadi kebanggaan enam tahun lalu.