MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengangkat naratif baharu apabila mengemukakan cadangan senarai awal 38 sukan untuk Sukan SEA 2027 kepada Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF).
Delegasi MOM yang diketuai Presidennya, Tan Seri Mohamad Norza Zakaria membawa mandat besar Malaysia pada Mesyuarat Majlis SEAGF di Bangkok, semalam.

Delegasi Malaysia mempersembahkan perancangan awal Penganjuran Sukan SEA 2027 kepada SEAGF di Bangkok.
Menerusi perkongsian di laman sosialnya, MOM bersama MASOC turut memaklumkan temasya bakal berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 membabitkan empat kluster – Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Norza menegaskan senarai 38 sukan itu masih bersifat awal dan belum muktamad, sekali gus menzahirkan komitmen Malaysia mematuhi Piagam serta Peraturan SEAGF.

Tan Sri Norza menegaskan Malaysia mengutamakan kepentingan semua negara anggota.
“Kami hanya membentangkan senarai asas, dan cadangan rasmi akan dikemukakan selepas Malaysia mengambil alih kerusi Pengerusi SEAGF apabila selesai Sukan SEA Thailand 2025,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Abdul Rashid Yaakub menjelaskan perancangan kepada SEAGF.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebagai penjaga temasya pelbagai sukan negara, MOM bertanggungjawab memastikan kepentingan Sukan SEA dan anggota SEAGF terus terpelihara.
Mesyuarat itu turut menyaksikan pembentangan perkembangan penganjuran oleh MASOC yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rashid Yaakub bersama pengurusan tertinggi.