MALAYSIA berjaya melangkah ke aksi akhir Pestabola Merdeka 2023 apabila menewaskan India 4-2 selepas kembali semula ke Stadium Nasional Bukit Jalil setelah hampir setahun.

Gol-gol dari Dion Cools, Arif Aiman, Faisal Halim dan Corbin Ong cukup untuk memberikan kemenangan buat skuad kendalian Kim Pan-gon yang dilihat melakukan perubahan taktikal yang berjaya memerangkap India.

Kim Pan-gon mempertaruhkan taktikal menyerang dengan meletakkan empat pemain serangan — Darren Lok, Akhyar Rashid, Arif Aiman dan Faisal Halim yang dilihat dapat mengkucar kacirkan pertahanan India meskipun berdepan kesukaran keadaan padang yang kurang baik di beberapa kawasan.

Dions Cools memulakan malam gemilang Harimau Malaya apabila sepakan guntingnya pada minit kelapan hasil sepakan sudut menemui jaring untuk gol keduanya sejak menyarung jersi kebangsaan.

Kegembiraan penyokong tuan rumah bagaimanapun hanya bertahan lima minit apabila beberapa kesilapan mudah dihukum Mahesh Singh untuk gol penyamaan India yang menewaskan Syihan Hazmi.

Gol itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat pemain Malaysia yang terus mengasak dan hasilnya Harimau Malaya dihadiahkan sepakan penalti selepas Darren Lok dikasari dan Arif Aiman tenang menjaringkan gol peribadinya yang keenam bersama skuad kebangsaan.

46,150 penyokong bertambah gempita apabila gandingan Arif Aiman dan Faisal Halim memecah benteng India untuk Faisal menjadikan kedudukan 3-1 sekaligus Malaysia melangkah selesa ke bilik persalinan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus mengasak lawan dengan menekan barisan pertahanan tetapi hasil satu serangan balas, India yang kini di tangga ke-102 dalam ranking dunia berjaya merapatkan kedudukan menerusi penjaring terbanyak mereka, Sunil Chettry pada minit ke-51.

Berlaku sedikit kontroversi di atas padang apabila India mengatakan bola percubaan mereka sudah melintasi garisan gol namun pembantu pengadil tidak mengesahkan jaringan itu sekaligus mengundang rasa tidak puas hati di kalangan pemain India.

Kesempatan itu diambil Malaysia untuk melebarkan jurang jaringan dengan gol keempat menerusi Corbin Ong pada minit ke-61 selepas menerima hantaran cantik daripada Faisal Halim untuk menjadikan kedudukan 4-2.

Pan-gon melakukan beberapa pertukaran selepas itu untuk merehatkan beberapa pemain utama dan memberi peluang kepada pemain lain beraksi dan menguji gandingan baharu selain memperlahankan rentak permainan.

Kedudukan 4-2 kekal hingga tamat perlawanan dan Malaysia berjaya ke final bertemu Tajikistan yang mendapat ‘bye’ pada Selasa dan apa yang lebih penting adalah tambahan 6.04 mata untuk ranking Fifa.