KETUA jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain menegaskan cabaran Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 tidak boleh dipandang ringan apabila Malaysia bakal berdepan tiga pasukan berkualiti – Thailand, Lubnan dan Mongolia.
Nafuzi berkata, komitmen penuh setiap pemain amat diperlukan jika skuad negara mahu mara ke pusingan akhir.
“Saya menghormati Thailand, Lubnan dan Mongolia kerana mereka mempunyai kualiti yang baik. Malaysia berada dalam kumpulan yang sukar,” katanya.
“ Kami datang dengan harapan tinggi untuk layak ke pusingan akhir. Ini kejohanan kedua saya selepas di Indonesia dan saya berharap pasukan dapat mempamerkan corak permainan menarik,” katanya pada sidang media pra perlawanan.
Beliau percaya barisan pemain muda walaupun kurang pengalaman mampu menjadi kekuatan tambahan buat skuad negara.
“Walaupun dibarisi ramai pemain muda, kami akan berjuang habis-habisan untuk layak ke pusingan akhir,” katanya.
Sementara itu, tiga pemain, Muhammad Ubaidullah Shamsul, Muhammad Alif Izwan Yuslan dan Fergus Tierny hanya menyertai skuad pada saat akhir.
“Mereka lewat tiba kerana komitmen bersama kelab di Liga Super, namun saya tidak bimbang. Mereka pernah bersama skuad ketika kejohanan di Indonesia, jadi ini peluang untuk mereka pamerkan aksi terbaik,” jelasnya.