PENGENDALI Tajikistan, Petar Segrt memuji Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam pelbagai perkara sebagai penganjur Kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang menampilkan pertandingan antara tiga negara Asia.

Menerusi sidang media pra perlawanan pada Isnin, Segrt mengambil kesempatan itu untuk memberikan pujian kepada FAM terutama buat Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman yang dikatakan banyak membantu pasukan Asia Tengah itu untuk merasa selesa sepanjang berada di Kuala Lumpur.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia terutama kepada Setiausaha Agungnya yang banyak membantu kami terutama dalam urusan visa jurulatih kecergasan kami, Vladimir Krunic yang menjadi sebahagian daripada elemen terpenting dalam pasukan kami,” katanya dalam sidang media itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman

Segrt juga memberi pengiktirafan kepada FAM kerana usaha yang dilakukan memperlihatkan peningkatan yang signifikan buat Harimau Malaya di peringkat antarabangsa dalam dua tahun kebelakangan ini.

“Malaysia meningkat naik sejak dua tahun kebelakangan ini dan ada sebab disebalik kejayaan ini. Pertama ialah Kim Pan-gon dan kedua adalah sokongan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta negara anda banyak melabur dalam bola sepak.”

Tajikistan akan bertemu Malaysia dalam aksi final Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas mendapat ‘bye’ ekoran penarik diri Palestin dari kejohanan bersejarah itu.