TAMPUK pimpinan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) dijangka akan menyaksikan perubahan menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali Ke-28 yang bakal berlangsung pada 28 Disember 2024.
Menurut sumber, perebutan kerusi presiden akan berlaku apabila dikhabarkan Datuk Seri Megat D.Shahriman dicalon untuk posisi tersebut, mencabar I.Viknesawaran yang kini memimpin PHKL.
Viknesawaran dipilih sebagai presiden bagi tempoh 2022-2024 menggantikan Megat yang ketika itu digantung hoki setelah didapati melanggar Tatakelakuan Kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) pada November 2020.

Megat D. Shahriman
Ia susulan Megat dilaporkan melanggar Klausa 6 Kod Tatatertib Liga Hoki Malaysia 2020 apabila membuat kenyataan media berkaitan dengan kelewatan pembayaran hadiah wang tunai kemenangan LHM sehingga mengakibatkannya digantung selama 18 bulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti hoki berkuat kuasa mulai 3 November 2020.
Bagaimanapun Megat menang dalam permohonan rayuan perintah penggantungan terhadapnya pada tahun 2023 dan Kesatuan Hoki Malaysia (KHM) terpaksa membayar kos keseluruhan sebanyak CHF13,500 (RM68,960) kepada dirinya.
Kini pada AGM yang baharu, Megat dikhabarkan akan kembali merebut kerusi yang pernah dipegang sebelum ini.