SELEPAS empat hari saingan golf yang penuh tekanan, 73 pemain berjaya melangkah ke pusingan akhir Asian Tour Qualifying School esok.
Pemain dari Asia utara menguasai papan pendahulu, dengan pemain Jepun, Takumi Murakami, mendahului dua pukulan mengatasi pemain Korea, Kyungnam Kang.
Murakami mencatat enam di bawah par 65 untuk mengumpul keseluruhan 19 bawah par di Lake View Resort and Golf Club, Hua Hin, Thailand. Kang, yang mendahului dengan tiga pukulan pada permulaan hari, hanya mencatat 70.
“Saya sangat puas dengan putting saya hari ini. Separuh pertama permainan saya tidak lancar, tetapi separuh kedua sungguh luar biasa.
“Pada lubang pertama di sembilan lubang kedua, saya berjaya membuat birdie, dan rentak putting saya semakin baik hingga menghasilkan skor besar.
“Saya tak tahu kenapa, tetapi saya sangat tertarik dengan jelajah luar negara. Saya juga suka menonton jelajah luar negara. Saya sentiasa ingin mencuba perkara seperti ini kerana ia adalah pengalaman pembelajaran yang baik,” kata Murakami.
Pemain Jepun Yosuke Asaji (67), Taiki Yoshida (69), serta pemain Korea Doyeob Mun (67) berada di tempat ketiga bersama, empat pukulan di belakang pendahulu.
Pemain Australia, Jack Thompson (69), yang pernah menang di sini dua tahun lalu, ketinggalan satu pukulan di belakang mereka bersama rakan senegaranya, Lawry Flynn (68).
Hari ini mereka bermain di lapangan C dan D tetapi akan kembali ke lapangan A dan B esok.