TERENGGANU FC (TFC) bangkit daripada dipalit kekalahan selepas mengikat pasukan tercorot, Stallion Laguna FC 2-2 dalam aksi Kumpulan G, Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Khamis.

TFC yang menurunkan barisan terbaik termasuk meletakkan Ivan Mamut di posisi serangan dikejutkan jaringan awal pelawat pada perlawanan yang berlangsung dalam suhu panas.

Sepakan percuma diambil Griffin McDaniel minit ke-6 terus menerjah jaring yang sama sekali gagal dibaca tepat Suhaimi Husin.

Pada minit ke-27, pemain tengah TFC, Sony Norde berpeluang untuk mencetak namanya sebagai penjaring, namun rembatan diselamatkan Hayeson Pepito.

Pada minit ke-35, rembatan padu kapten TFC, Habib Haroon dari jarak dekat berjaya sekadar tepat ke dakapan penjaga gol.

Serangan kilat Stallion Laguna memerangkap TFC apabila Ngong Sam Stephen menambah gol kedua m-40 sebelum Sony Norde berjaya menghasilkan gol pendahuluan rumah rumah pada penghujung masa tambahan babak pertama.

Kedua-dua pasukan terus mengasak untuk menambah jaringan di babak kedua termasuk melakukan pertukaran pemain dalam usaha menokok jumlah jaringan.

Malah, penguasaan 77 peratus anak buah Tomislav Steinbruckner sepanjang perlawanan turut dihampakan penyudah tumpul selain kekebalan benteng pertahanan pasukan lawan.

Namun begitu, pemain gantian kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn menceriakan 2,120 penyokong Penyu apabila menolak masuk gol penyamaan dalam kecederaan.

Keputusan seri itu tidak mengubah kedudukan tangga kedua Terengganu yang meraih lima mata, manakala Bali United tumpas 3-6 kepada pendahulu, Central Coast Mariners dalam satu lagi pertembungan di New South Wales, Australia.