PERTAHANAN Sabah FC, Daniel Ting gembira apabila jaringannya berjaya menjadi pembakar semangat buat pasukan untuk mencipta kemenangan ke atas Haiphong FC 4-1 dalam aksi Piala AFC di Stadium Likas pada Khamis.
Daniel membuka tirai jaringan pada minit ke-20 yang dilihat berjaya menaikkan semangat rakan sepasukannya untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik the Rhinos sekali gus kembali ke tangga teratas Kumpulan H dan semakin mendekati peringkat seterusnya.
“Ianya satu persembahan yang cukup bagus bagi kami kerana perlawanan ini cukup penting untuk kembali mendahului kumpulan dan mendapatkan semula kelebihan jaringan yang meletakkan kami dalam kedudukan yang lebih selesa namun masih ada dua perlawanan lagi.
“Formasi jurulatih memaksa saya untuk naik seberapa kerap ke atas jadi apabila sudah lama tidak menjaringkan gol, ianya satu perasaan yang hebat tetapi ianya adalah usaha berpasukan dan kami bermain sebagai satu unit.
“Tiga mata ini sangat penting kerana kami mahu tamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas dan layak ke peringkat seterusnya dan ianya kemenangan yang cukup bermakna buat kami,” katanya yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Pemain warisan kebangsaan itu juga mengakui mereka menukar pelan permainan pada babak kedua untuk bermain lebih bertahan selepas mendahului dua gol pada babak pertama selain mahu mengekalkan kelebihan itu.
“Selepas mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, jelas kami perlu bermain sedikit bertahan pada babak kedua untuk mengekalkan kelebihan dua gol yang kami ada seterusnya berjaya mendapat tiga mata,” jelasnya.
Daniel juga teruja melihat hampir 7,500 penyokong yang hadir dan dia berterima kasih kepada mereka kerana memberikan sokongan dan semangat buat para pemain untuk memberikan aksi yang mantap untuk mereka.
“Sudah lama kami tidak bermain di Stadium Likas dan sangat gembira melihat hampir 7,500 penyokong yang hadir memberikan sokongan. Terima kasih dan harap dapat bertemu anda semua pada perlawanan seterusnya,” ujarnya.
Kemenangan 4-1 itu melonjakkan kembali Sabah ke tangga teratas Kumpulan H dengan sembilan mata selepas empat perlawanan dan akan berhadapan Hougang United di Singapura sebelum menutup kempen peringkat kumpulan bertemu PSM Makassar di Stadium Likas.