JURULATIH Vietnam, Park Hang-seo percaya dan yakin pasukan bimbingannya mampu untuk menumbangkan Indonesia di separuh akhir Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bermula dengan perlawanan pertama di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Jumaat.

Bagaimanapun, Hang-seo yang bakal mengakhiri tugasannya bersama skuad Vietnam selepas tamat kejohanan ini tetap memuji skuad Garuda yang pada hematnya semakin menunjukkan perubahan di bawah kendalian Shin Tae-yong.

Dia juga tidak mahu memandang rekod pertemuan sebagai kelebihan buat pasukannya sebaliknya mahukan pemainnya memberikan aksi terbaik dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir.

“Ketika saya menonton pasukan Indonesia bermain baru-baru ini, mereka banyak berubah. Shin Tae-yong mempunyai banyak pemain naturalisasi yang berkualiti serta mempunyai pemain dengan kemampuan fizikal yang lebih baik.

“Teknik dan taktik yang digunakan Shin Tae-yong juga baik. Ini adalah lawan yang sukar buat Vietnam dan saya mengharapkan permainan yang terbaik dapat diberikan oleh setiap pemain.

“Tentu sahaja kelebihan dalam rekod pertemuan itu adalah perkara yang baik namun, rekod itu boleh sahaja dipecahkan. Kami telah banyak kali bertemu dengan mereka dan saya tidak pernah tewas sejak saya mengendalikan pasukan Vietnam. Sudah tentu Indonesia adalah lawan yang sukar tetapi Vietnam boleh mengalahkan mereka,” katanya.

Dari 10 pertemuan terakhir sebelum ini, Vietnam menang empat kali dan seri lima kali manakala Indonesia hanya berjaya memenangi sekali dengan rekod di Piala AFF pula menyaksikan Vietnam memang tiga kali dan kalah sekali dari empat pertemuan dengan Indonesia.

Vietnam akan berkunjung ke Jakarta untuk perlawanan separuh akhir pertama dengan rekod tanpa kalah dan tanpa bolos ketika peringkat kumpulan dan akan berhadapan lebih 50,000 penyokong fanatik Indonesia.

Namun begitu, Park Hang-seo berkata Vietnam mempunyai mental yang cukup kuat untuk tidak merasai tekanan apabila beraksi di laman lawan terutamanya di Gelora Bung Karno.

Kali terakhir Vietnam bertemu Indonesia dalam Kejohanan Piala AFF adalah ketika edisi 2020 di Singapura dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan ketika peringkat kumpulan.