AKSI memukau penjaga gawang negara, Ahmad Syihan Hazmi menyelamatkan penalti nyata mengundang nostalgia buat penyokong Malaysia kepada kehebatan beberapa penjaga gol kebangsaan yang lain.
Nama-nama seperti Khairul Fahmi Che Mat dan Farizal Marlias sering disebut sebagai antara penjaga gol yang banyak membantu skuad negara dalam memenangi perlawanan terutama dalam menyelamatkan sepakan penalti.
Khairul Fahmi Che Mat mencipta nama sebagai penjaga gawang legenda apabila menyelamatkan penalti ketika membantu Harimau Malaya muncul juara pada edisi 2010 dan Sukan Sea 2011.
Farizal Marlias pula menyaksikan sepakan penalti Adisak Kraison melambung melepasi palang gol sekaligus membawa Malaysia ke final sebelum dia sekali lagi menjadi wira apabila menyelamatkan sepakan pemain Indonesia untuk memberikan kemenangan dalam kelayakan ke Piala Asia 2023.

Apabila diajukan soalan oleh FLASH SUKAN adakah dia merasakan dia membawa aura penjaga gol-penjaga gol hebat ini, pemain terbaik perlawanan itu pantas menafikannya dan menganggap kejayaan Harimau Malaya adalah kejayaan semua.
“Syihan tidak mahu dibandingkan dengan mereka kerana Syihan adalah Syihan dan masing-masing mempunyai kelebihan dan kehebatan masing-masing manakala kejayaan ini adalah kejayaan semua.
“Syihan tidak mahu diletakkan sebaris dengan mereka kerana tidak mahu merasa tekanan dan Syihan hanya fokus kepada aksi Syihan di atas padang dan memantapkan lagi persembahan sepanjang kejohanan ini,” katanya kepada FLASH SUKAN selepas aksi menentang Myanmar di Yangon.
Harimau Malaya kini berada pasa fasa transformasi penjaga gol dengan tiga penjaga gol muda berjaya mengenepikan penjaga gol senior untuk menyarung jersi kebangsaan dengan Syihan kini sering dipilih sebagai penjaga gol nombor satu negara.