SKUAD kebangsaan senior Thailand bakal menerima durian runtuh sebanyak 5 juta Baht (RM 638, 000) seandainya berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric tahun ini.

Kenyataan itu dibuat pengurus pasukan Gajah Perang, Nualphan Lamsam yang lebih gemar disapa ‘Madame Pang’.

Tahun lepas, Madame Pang turut berbesar hati menyumbang 20 juta Baht setelah skuad Gajah Perang berjaya merangkul Piala AFF buat kali keenam selepas menundukkan Indonesia pada edisi lalu.

Selain skuad utama Thailand, pasukan bawah 23 tahun mereka turut diberi ganjaran sebanyak 5 juta Baht setelah berjaya memenangi ibu segala pingat emas acara bola sepak dalam temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2021.

Susulan kegagalan skuad Gajah Perang pada Kelayakan Piala Dunia 2022, Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) telah melantik Madame Pang sebagai pengurus skuad bola sepak Thailand pada Ogos 2021.

Namanya bukanlah asing dalam dunia perniagaan Thailand, apabila datang dari keluarga jutawan Lamsam yang mempunyai perusahaan dalam sektor perbankan dan insurans serta turut merupakan pemilik kelab Port FC.