WALAUPUN tewas 3-0 kepada Iran dalam aksi pembukaan Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 malam tadi, ketua jurulatih skuad Malayan Tigress B-20, Cameron Ng tetap memilih untuk memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh anak buahnya.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Cameron jelas kecewa dengan keputusan, namun tetap berbangga dengan prestasi pemain yang menurutnya tidak pernah mengalah sepanjang 90 minit.

“Saya kena puji pemain-pemain saya. Mereka beri 100 peratus, mereka ikut perancangan permainan, mereka berlari, mereka mencuba. Tapi kesilapan individu beri Iran dua gol awal dan ia menjadikan separuh masa kedua lebih sukar untuk bangkit,” katanya.

Malaysia kini berdepan laluan sukar untuk menamatkan kempen di tangga kedua terbaik bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Namun Cameron enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal.

“Sudah tentu ia kini satu cabaran besar. Tapi bola sepak ini pelik. Kadang-kadang keajaiban boleh berlaku. Selagi belum secara matematik mustahil, kami akan terus mencuba dan berjuang,” tambahnya.

Bercakap mengenai perlawanan seterusnya menentang Jepun, beliau mengakui ia satu cabaran berbeza namun tetap percaya kepada kemampuan pasukan yang dilihat mampu mencipta peluang seperti mana dilakukan ketika menentang Iran.

“Kami cipta peluang. Kalau kami langsung tak ada peluang, barulah saya rasa kami perlu rombak perancangan. Tapi kami ada percubaan dan itu sesuatu yang positif. Harapnya menentang Jepun nanti pun kami boleh ulang perkara yang sama,” ujarnya.

Malaysia mendapat sepakan penalti di babak kedua, namun gagal disempurnakan sesuatu yang dilihat Cameron boleh mengubah keseluruhan momentum perlawanan andai disudahkan dengan jaringan.

Namun bagi Cameron, semangat yang ditunjukkan pemain-pemain muda negara tetap menjadi kekuatan utama pasukan menjelang aksi sukar menentang Jepun.

FOTO:FAM