KETUA jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti, mengakui keputusan seri 2-2 menentang Kemboja dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 di Stadium Nasional Olimpik Phnom Penh bukanlah permulaan yang diharapkan, namun dirinya optimis pasukan bimbingannya mampu bangkit dalam baki perlawanan peringkat kumpulan.

Pau menyifatkan aksi tersebut sebagai perlawanan yang sengit dan sukar dikawal, terutama apabila berdepan pasukan tuan rumah yang mendapat kelebihan sokongan ribuan penyokong.

“Seperti yang dijangka, bermain di tempat lawan sentiasa memberi tekanan tambahan.

“Pasukan lawan ada kelebihan moral, dan kita perlu menyesuaikan diri dengan tekanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan pada Ahad.

Walaupun memuji komitmen dan semangat juang pemain, Pau meluahkan rasa kecewa kerana Harimau Malaya gagal mempertahankan kelebihan selepas mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Kesebelasan utama Malaysia menentang kemboja. FOTO:FAM

Dua gol Kemboja di separuh masa kedua, termasuk satu lagi daripada situasi bola mati, masalah yang berulang dalam dua perlawanan berturut-turut  menjadi titik kelemahan skuad negara.

“Kami sekali lagi bolos menerusi set piece, dan ini terlalu berat untuk kami. Tapi secara keseluruhan, saya gembira dengan usaha dan sikap pemain, terutama kerana ini baru perlawanan pertama.

“Masih ada tiga lagi perlawanan, dan saya yakin kami boleh belajar daripada pengalaman ini,” tambahnya.

Endrick antara pemain yang cermelang dalam perlawanan malam ini. FOTO:FAM

Pau juga menekankan aspek positif apabila Harimau Malaya berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan pemain gantian Fergus Tierney.

Menurutnya, keupayaan pemain untuk bangkit dari ketinggalan menunjukkan mentaliti yang kuat walaupun tempoh persediaan yang singkat menyukarkan perancangan taktikal secara terperinci.

Apabila ditanya mengenai peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir, Pau menegaskan bahawa sasaran utama tetap untuk memenangi setiap perlawanan.

“Itu matlamat kami. Tapi, kadang-kadang ia sukar. Dalam tiga tahun terakhir, Malaysia hanya menang dua perlawanan dalam kejohanan ini.

“Jika kita tidak boleh menang, sekurang-kurangnya kita tidak kalah. Setiap mata penting, terutama apabila Kemboja juga perlu bertemu gergasi Asean seperti Thailand dan Singapura,” katanya.

Ultra Malaya hadir bagi menyemarakkan semnagat buat Harimau Malaya di Phnom Penh.

Malaysia kini bersiap untuk menghadapi cabaran getir menentang Timor Leste, Thailand dan Singapura dalam perlawanan seterusnya.

Dengan jurang yang masih boleh dibaiki, Marti yakin Harimau Malaya mampu menunjukkan prestasi lebih baik dan mengekalkan peluang untuk mara ke separuh akhir.