HATRIK daripada ayam tambatan, Arif Aiman Hanapi memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada liga selepas menewaskan Kuala Lumpur City 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Harimau Selatan turun dengan misi tiga mata untuk memadam kekecewaan diikat Buriram United dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite dan tidak menghampakan hampir 10,000 orang penyokong yang hadir.
Arif membuktikan dirinya sememangnya berbahaya apabila berjaya melihat ruang terbuka untuk merembat leret dari luar kotak penalti yang menewaskan Azri Ghani untuk gol pendahuluan JDT pada minit ke-12.
Keadaan yang sama menjadi punca gol kedua JDT apabila Arif Aiman sekali lagi menjaringkan gol dari jarak jauh sebelum melengkapkan hatrik menerusi penalti selepas bola dikesan terkena tangan Brendan Gan di dalam kotak penalti.
Meskipun selesa dengan kelebihan tiga gol, ianya seakan tidak cukup buat JDT apabila terus mengasak sejak permainan bersambung pada babak kedua untuk mencari kemenangan yang lebih besar.
KL City dilihat tidak mampu untuk keluar dari kawasan sendiri apabila sering kehilangan bola ketika ditekan barisan Harimau Selatan sekali gus menyukarkan mereka untuk membina serangan ke kubu lawan.
Patrick Reichelt mempunyai peluang terbaik untuk membolosi gawang JDT apabila berhadapan satu sama satu namun Syihan Hazmi menafikan usahanya bagi memastikan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan itu meletakkan JDT selesa di tangga teratas dengan 43 mata selepas berakhir 15 perlawanan manakala KL City pula kekal di tangga kesembilan dengan 14 mata dan kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada saingan suku akhir Piala Malaysia minggu hadapan.