KETUA jurulatih Timor Leste, Simon Pablo, meluahkan perasaan bercampur-baur selepas perlawanan menentang Malaysia dalam kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024.
Walaupun pasukannya tewas 3-2, beliau berpuas hati dengan usaha dan peningkatan yang ditunjukkan oleh pemainnya.
Simon menyatakan kegembiraannya terhadap prestasi pasukannya, walaupun tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil.
“Kami telah melakukan yang terbaik. Kami mempertahankan kedudukan dengan tenang walaupun Malaysia menguasai bola. Taktikal kami sangat baik, namun keputusan akhir perlawanan tidak memihak kepada kami,” katanya dalam sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.
Mengenang kekalahan besar 10-0 kepada Thailand dalam perlawanan sebelumnya, pengendali berusia 47 tahun ini mengakui pasukannya kurang persediaan dan kehilangan salah seorang pemain utama akibat kecederaan lutut sebelum perlawanan bermula.
“Kami kehilangan fokus, dan Thailand mengambil peluang itu untuk menjaringkan gol dengan cepat. Mereka berjaya meningkatkan keyakinan dan terus mendominasi,” jelasnya.
Dalam perlawanan menentang Malaysia, Simon berkata bahawa pasukannya berjaya mengekalkan tumpuan dan kembali kepada strategi yang telah dirancang.
“Kami berjaya mengekang Malaysia dengan permainan bertahan yang baik dan menyerang balas apabila perlu. Walaupun kami tewas, pasukan menunjukkan peningkatan yang ketara,” tambahnya.
Simon juga yakin bahawa pasukannya akan lebih bersedia untuk dua perlawanan terakhir menentang Singapura dan Kemboja, terutamanya dengan kembalinya kapten pasukan, Gali Freitas.
“Kehadiran kapten kami memberikan motivasi besar kepada pasukan. Kami mahu mencipta sejarah untuk Timor Leste dengan memperoleh mata pertama dalam kejohanan ini,” tegasnya.
Timor Leste kini berada tangga tercorot selepas dua perlawanan dan gagal mengutip sebarang mata.