KELAB Lion City Sailors (LCS) mencipta detik bersejarah apabila mara ke final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) buat kali pertama selepas menyingkirkan Sydney FC menerusi agregat 2-1, sekalipun tewas 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Allianz, malam tadi.
Berbekalkan kemenangan 2-0 di Singapura pada 9 April lalu, anak buah Aleksandar Rankovic tampil dengan taktikal berhati-hati untuk mempertahankan kelebihan mereka. Sydney pula tampil garang dan mempamerkan aksi berintensiti tinggi, namun keampuhan pertahanan LCS serta aksi cemerlang penjaga gol Izwan Mahbud berjaya merencatkan banyak peluang tuan rumah.
Sydney tampak hampir mencipta kebangkitan awal apabila Jordan Courtney-Perkins menyumbat bola ke gawang pada minit ke-10, namun jaringan dibatalkan VAR selepas Adrian Segecic didapati berada dalam posisi ofsaid. LCS turut hampir menambah derita The Sky Blues menerusi tandukan Lennart Thy yang diselamatkan penjaga gol Harrison Devenish-Meares.
Kapten Sydney, Rhyan Grant, sekali lagi merasakan tuah tidak menyebelahinya apabila jaringannya pada minit ke-42 turut dibatalkan atas sebab yang sama – ofsaid. Perlawanan babak pertama berakhir dengan keputusan 0-0 walaupun tekanan bertali arus dari tuan rumah.
Memasuki separuh masa kedua, Sydney FC kekal agresif dan hampir membuka tirai jaringan menerusi Patrick Klimala, tetapi Izwan Mahbud membuktikan ketangkasan beliau untuk menafikan percubaan berbahaya itu. Ketegangan mula memuncak apabila pemain-pemain LCS tidak berpuas hati dengan corak fizikal yang ditampilkan tuan rumah.
Pengendali LCS, Rankovic, melakukan pertukaran taktikal dengan memasukkan Shawal Anuar menggantikan Maxime Lestienne, cuba mencari semula imbangan dalam permainan. Namun benteng LCS akhirnya bocor pada minit ke-85 hasil jaringan separa voli bekas pemain Nottingham Forest, Joe Lolley – yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan dengan rating 8.4 oleh Sofascore.
Gol itu menghidupkan semangat Sydney untuk memburu gol penyamaan agregat, namun usaha mereka gagal membuahkan hasil sehingga wisel penamat dibunyikan. LCS mara ke final dengan kelebihan 2-1 secara agregat dan bakal berdepan Sharjah FC dari Emiriah Arab Bersatu dalam pentas penentu kejuaraan.
Selepas kemenangan bersejarah ini, LCS bakal kembali fokus untuk aksi separuh akhir Singapore Cup menentang DPMM pada 22 April, manakala Sydney FC akan menyambung saingan A-League bertemu Newcastle Jets pada 20 April.