IMPIAN Harimau Malaya untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 tidak kesampaian apabila sekadar seri tanpa jaringan bertemu Singapura dalam terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Malaysia perlu mencatat kemenangan untuk mara ke separuh akhir, manakala Singapura hanya memerlukan keputusan seri kerana memiliki kelebihan dua mata dalam kumpulan.
Malaysia memulakan perlawanan dengan agresif, menguji gawang Singapura seawal minit kedua menerusi percubaan Sergio Aguero, namun rembatannya tepat ke arah penjaga gol, Mohamad Izwan Mahbud. Serangan berterusan menyaksikan Endrick dos Santos melakukan percubaan pada minit keenam, tetapi masih gagal menewaskan Izwan.
Tuan rumah hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-28 menerusi gerakan dari sebelah kiri, namun percubaan Stuart Wilkin tersasar tinggi. Sebaliknya, Faris Ramli turut mencuba untuk Singapura dengan rembatan tinggi pada minit ke-35.
Malaysia mendapat peluang terbaik pada minit ke-41 apabila lambungan Haqimi Azim Rosli menemui Daniel Ting, tetapi tandukannya di depan gawang Singapura gagal menemui sasaran.
Meskipun Malaysia mendominasi penguasaan bola dengan sekurang-kurangnya tiga percubaan tepat, keputusan kekal 0-0 sehingga tamat babak pertama.
Babak kedua dimulakan dengan penuh aksi, apabila Endrick hampir membuka jaringan buat Malaysia seawal minit pertama. Namun, sepakan kencangnya sedikit tersasar dari sasaran.
Tidak lama selepas itu, percubaan Malaysia menerusi sepakan sudut hampir membuahkan hasil apabila Hakimi melakukan tandukan, tetapi penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud, berjaya menepis bola tersebut.
Malaysia terus mengasak dengan serangan bertali arus, mencari gol pembukaan. Pada minit ke-53, Endrick sekali lagi mencuri perhatian apabila sepakan sudutnya hampir menemui jaring, namun peluang itu juga gagal disempurnakan.
Peluang demi peluang tercipta, termasuk menerusi situasi bola mati. Dalam insiden lain, bola muntah hasil sepakan Paulo Josue tidak berjaya dimanfaatkan oleh barisan pemain Malaysia.
Walaupun usaha keras dipamerkan sepanjang perlawanan, Malaysia terpaksa akur apabila gagal mencipta sebarang jaringan sehingga tamat perlawanan, sekali gus tersingkir daripada saingan separuh akhir.