PENGENDALI Singapura, Tsutomu Ogura, bangga apabila membawa pasukannya melangkah ke separuh akhir Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 selepas perlawanan sengit menentang Malaysia yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Ujarnya, para pemain beraksi dengan semangat juang yang tinggi dan mengekang setiap kemaraan pasukan tuan rumah sepanjang 90 minit permainan.

“Ini bukan hanya soal pertahanan, tetapi pemain lain juga memahami peranan mereka dan menunjukkan daya juang di atas padang.

“Hari ini adalah satu pencapaian yang baik dalam sejarah bola sepak Singapura. Pemain telah menunjukkan perubahan besar. Ini bukan hanya hasil usaha jurulatih tetapi juga para pemain dan staf kejurulatihan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Mengenai keputusan tidak menurunkan pemain utama seperti Kyoga Nakamura, Ogura menjelaskan, beliau mahu memastikan pemain bersedia untuk perubahan taktikal di separuh masa kedua.

“Semua pemain tahu peranan mereka dan itu yang penting. Hari ini, kami tidak menang, tetapi seri juga satu pencapaian yang sukar dicapai.

“Saya belajar bahawa memberi ruang kepada pemain untuk membuat keputusan sendiri juga penting,” ujarnya jurulatih kelahiran Jepun itu.

Singapura menamatkan saingan di tangga kedua kumpulan, di belakang Thailand yang muncul juara, dengan kedua-duanya mara ke peringkat separuh akhir.