PENJARING dua gol penting untuk Harimau Malaya, Paulo Josue dalam perlawanan terkini, berkongsi pemikirannya selepas kejayaan menewaskan Timor Leste di halaman sendiri pada Rabu.

Dia menyatakan bahawa keyakinannya tetap kukuh walaupun perlawanan hampir menuju ke penghujung.

“Saya yakin kerana pasukan lawan sudah tidak mampu berlari lagi. Terdapat empat atau lima pemain mereka yang mengalami kekejangan.

“Jadi, kami hanya perlu memastikan hantaran akhir yang baik,  tepat, sentuhan terakhir yang sempurna, dan sedikit ketenangan untuk menyelesaikan serangan.

“Kami hampir menjaringkan gol beberapa kali, dan akhirnya kami berjaya melakukannya. Tugas saya hanya memastikan pemain-pemain berehat seketika dan mengikut apa yang jurulatih arahkan,” katanya selepas perlawanan.

Pemain Kuala Lumpur City FC itu turut menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi oleh pemain muda Harimau Malaya.

“Sudah tentu kami berada di sini untuk membantu dan menyokong mereka. Saya rasa semua pemain muda telah melakukan yang terbaik. Ini adalah kali pertama kami bermain bersama dan hanya mempunyai dua hingga tiga hari untuk membuat persediaan selepas perlawanan menentang Kemboja. Kami tidak sempat berlatih dengan baik kerana perlu berehat sebelum perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Paulo juga mengulas tentang jadual padat yang perlu diharungi pasukan kebangsaan selepas ini.

“Esok kami akan terbang dan dalam dua hari lagi ada satu lagi perlawanan. Jadi, tidak mudah untuk memahami sepenuhnya apa yang dirancang oleh jurulatih. Namun, kami cuba mencari keserasian dan memberikan persembahan terbaik untuk mendapatkan keputusan yang positif,” katanya.

Harimau Malaya kini menduduki tangga teratas kumpulan dengan empat mata, diikuti Thailand dan Singapura yang masing-masing mengumpul tiga mata setakat ini.

Ujian seterusnya buat skuad negara adalah menentang Gajah Perang di Bangkok pada 14 Disember, dalam misi meraih tiga mata penting.