PERTAHANAN Harimau Malaya, Dominic Tan mengakui tugasan sukar menanti skuad kebangsaan untuk mengharungi kempen Piala Asean Mitsubishi Electric 2024 dan mahu semua pemain memberikan fokus sepenuhnya terhadap kejohanan ini.
Dominic yang juga salah seorang kapten pasukan menjelaskan setiap perlawanan antarabangsa adalah sukar namun dia yakin barisan yang dibawa kali ini mampu memberikan cabaran untuk mencabar kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 2010.
Dia yang juga kini salah seorang pemain senior dalam skuad kali ini mahu menjadi contoh kepada pemain-pemain muda dan berharap dapat lakukan yang terbaik buat negara jika diberikan peluang beraksi.
“Kami mempunyai ramai pemain baru tetapi mereka semua layak untuk berada dalam skuad dan kami semua akan lakukan yang terbaik untuk dapatkan keputusan yang positif.
“Sebagai pemain senior, saya akan lakukan yang terbaik untuk bantu pemain-pemain muda kerana kami mahu memenangi perlawanan tetapi kita tahu perlawanan antarabangsa sentiasa sukar terutama perlawanan pertama dan perlu fokus kepada diri sendiri.
“Saya bangga kerana diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang kapten pasukan dan saya akan terimanya dengan rasa bangga serta hormat dan akan lakukan yang terbaik untuk negara,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Malaysia akan memulakan kempen Piala AMEC 2024 menentang Kemboja di Phnom Penh dan kemenangan pertama pastinya dituntut bagi memastikan posisi yang lebih baik sebelum kembali ke Bukit Jalil untuk perlawanan kedua menentang Timor Leste.
Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Kemboja, Timor Leste, Thailand dan Singapura dengan gandingan pemain baharu dan lama ini dijangka mampu melakar kejutan dalam kejohanan dwitahunan Asia Tenggara.