PEMAIN tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba menyatakan setiap pemain perlu menganggap setiap aksi di Piala Asean Mitsubishi Electric 2024 sebagai final bagi membolehkan Malaysia melangkah lebih jauh pada kejohanan ini.

Syamer yang dilantik sebagai salah seorang kapten pasukan juga percaya setiap pemain mempunyai sasaran untuk layak ke final kerana ianya penting sebagai pemangkin semangat dan menyuntik mentaliti positif dalam pasukan.

Dia juga berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan setiap pemain yang melaporkan diri dan menganggap ini peluang terbaik buat semua pemain untuk menunjukkan kualiti masing-masing dan merebut kesebelasan utama.

Syamer (kanan) ketika sesi latihan pertama Harimau Malaya menjelang Piala Asean Mitsubishi Electric 2024

“Perlawanan menentang Kemboja ini sangat penting dan kami percaya mereka juga melakukan persiapan yang baik dan bagi kami setiap perlawanan adalah final dan harap dapat pergi sejauh mungkin untuk beri kebanggaan buat negara.

“Jangkaan setiap pemain adalah untuk memenangi kejohanan kerana itu penting untuk mentaliti pemain dan sasaran untuk setiap pemain adalah pergi ke final dan saya harap sebagai salah seorang kapten mahu berikan yang terbaik buat Malaysia.

‘Saya lihat pemain muda yang dipilih mempunyai kualiti masing-masing dan mereka boleh lakukan sesuatu dan ini peluang untuk lakukan sesuatu buat negara dan kita tahu yang kita tidak ada peluang untuk dapatkan semua pemain jadi siapa yang lapor diri ini akan lakukan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Syamer juga turut mengakui masa menjadi musuh utama pasukan dalam kejohanan ini tetapi dia percaya setiap pemain tahu apa yang barisan kejurulatihan mahukan dan akan cepat mengadaptasi kepada semua keadaan.

“Semalam kami baru berkumpul dan tahu masa persiapan sedikit suntuk tetapi semua pemain mempunyai gambaran serta idea apa yang dimahukan oleh jurulatih dan tahu apa yang perlu dilakukan jadi diharap kami dapat cepat sesuaikan diri untuk menghadapi kejohanan ini.

“Cabaran yang akan dihadapi adalah masa dan ‘recovery session‘ kerana jadual yang padat tetapi kita dapat perlawanan dan minit permainan yang banyak serta belajar sesuatu dari kejohanan ini,” jelasnya.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Phnom Penh pada Jumaat untuk menghadapi Kemboja dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A di mana tiga mata penuh akan menjadi pembakar semangat untuk baki tiga lagi perlawanan peringkat kumpulan.