KETUA Jurulatih Bawah 19 Tahun (B-19) Selangor FC, Muhammad Firdaus Aziz memberitahu skuad kendaliannya akan turun bermati-matian pada perlawanan akhir Pertama Piala Belia 2022 bertemu Sri Pahang FC, Jumaat.

Jelasnya, pandemik Covid-19 sedikit sebanyak menyebabkan pembangunan pemain-pemain agak terjejas untuk mereka tampil dalam prestasi sebenar.

Bagaimanapun dia yakin pasukan Selangor FC mampu memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri dan menjulang Piala Belia 2022 di Temerloh pada aksi timbal balik.

Jurulatih Selangor FC B-19, Muhammad Firdaus  Aziz dan kapten Akmal Izzuddin (kanan).

“Paling penting sudah tentu kita mahu menang, bagi saya pembangunan pemain Bawah 19 adalah paling penting. Corak kita akan bermain mati-matian untuk esok.

“Tidak ada sebarang pertandingan sepanjang dua tahun, sebenarnya pembangunan itu terhenti agak lama. Untuk perlawanan kompetitif yang ada pada waktu itu dibatalkan untuk dua tahun.

“Kali terakhir kita menang adalah pada 2015 jadi 7 tahun selepas itu yang terakhir. Ini adalah satu peluang, InsyaAllah di Temerloh nanti kita akan julang Piala,” ujarnya pada sidang media pra perlawanan pada Khamis.

Jurulatih Sri Pahang FC, Bahazenan Osman.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Bahazenan Osman menyifatkan sokongan yang diterima daripada Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah telah menyuntik semangat pemain untuk beraksi dengan baik dalam perlawanan esok.

Jelasnya, Sri Pahang FC akan turun dengan misi mendapatkan jaringan di tempat lawan dan meresap tekanan bermain di gelanggang lawan dengan melakukan asakan bertubi-tubi untuk mematahkan semangat lawan.

“Saya begitu yakin dengan apa yang ditunjukkan pemain semasa berlatih di Kuantan, berkat sokongan yang kuat dari Yang Mulia Tunku Muda Pahang menambahkan lagi keinginan kita.

Jurulatih Sri Pahang FC, Bahazenan dan kapten pasukan Sri Pahang FC, Muhammad Amirul Haikal Razali.

“Walaupun ini adalah aksi pertama final, kami akan turun dengan misi mendapatkan jaringan di tempat lawan, untuk kelebihan ketika bermain secara timbal balik selepas ini. Kita akan cuba bermain menyerang habis-habisan.

“Saya rasa memang sudah menjadi lumrah kepada pasukan pelawat berasa tekanan. Saya akan cuba menasihati pemain saya untuk bermain sediakala dan bermain untuk Sri Pahang dengan semangat yang tinggi dan lupakan apa sahaja yang berlaku di luar padang,” ujar Bahazenan.