KEMASUKAN Farhan Roslan di babak kedua mengubah tempo permainan skuad Sabah FC dan berjaya menjaringkan gol penyamaan di penghujung babak kedua.

Sentuhan penyudah bekas tonggak tengah asal Kedah itu juga disenangi jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee yang diminta mengulas prestasinya yanga masuk sebaai pemain gantian.

“Kita berjaya dapat gol pada lewat permainan kalau ia hadir lebih awal saya percaya mampu dapatkan gol kemenangan.

“Saya ambil Farhan pertengahan musim dan kita tahu dia merupakan pemain yang cukup berpengalaman.

“Sudah tentu untuk mendapat kesebelasan utama dia harus berusaha tapi saya tak fikirkan semua itu… yang penting sesiapa yang dimasukkan sekalipun harus menunjukkan komitmen yang lebih tinggi.

“Ini terbukti apabila Farhan diberi peluang untuk ambil kesempatan,” ujar Kim Swee selepas perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Percaturan bekas pengendali skuad kebangsaan B23 negara itu yang membawa masuk Farhan yang menggantikan Taiki Kagayama membuahkan hasil selepas berjaya menolak masuk hantaran lintang Saddil pada minit ke-84 sekali gus memastikan Sabah berpuas hati dengan satu mata.

Beliau juga memuji aksi Baddrol Bakhtiar dan Amri Yahyah yang bermain agak baik serta sentiasa komited dalam perlawanan lepas.

“Nampak amat keletihan tapi mereka beri komitmen cukup baik dan semua pemain tunjuk kesungguhan. Ini penting apabila kita ketinggalan dan untuk kembali mendapat gol penyamaan di tempat lawan terutama di sini tidak mudah,” katanya.

Sabah akan melayan kunjungan Kuala Lumpur City di Likas pada 1  September depan dalam usaha terus menghambat pendahulu semasa, Johor Darul Ta’zim.