KETUA Jurulatih Skuad Hoki Kebangsaan, A. Arul Selvaraj jelas kecewa dengan keputusan yang tidak memihak kepada Malaysia apabila tewas mengejut kepada Afrika Selatan 6-3 dalam aksi klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12 Kejohanan Piala Dunia Hoki Odisha 2023.

Kekalahan itu menyebabkan harapan Speedy Tigers untuk sekurang-kurangnya mendapat tempat kesembilan dalam kempen Piala Dunia kali ini tidak kesampaian selepas mempamerkan aksi longlai di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela pada Khamis.

Dia yang jelas kehilangan kata-kata memberitahu punca kekalahan adalah kerana para pemain gagal mengawal emosi dan hilang kepercayaan diri sekaligus tidak mampu memperagakan aksi yang cemerlang seperti perlawanan peringkat kumpulan dan ketika peringkat ‘crossover’.

“Saya dan semua pemain terlalu kecewa disebabkan kita hilang tumpuan atau fokus atau hilang kemahuan di suku pertama dan kedua. Kita kalah perlawanan ini dalam dua suku pertama dan cuba bangkit pada suku ketiga dan keempat tetapi berlaku kelonggaran di bahagian pertahanan untuk menahan serangan balas lawan.

“Kredit saya berikan untuk pasukan Afrika Selatan kerana mereka bermain lebih cerdik daripada kita dan tidak dinafikan mereka mempunyai lebih kemahuan untuk memenangi perlawanan ini.

“Namun begitu pujian harus diberikan kepada pelari pertama kita kerana walaupun lawan mendapat banyak pukulan sudut penalti semuanya berjaya ditampan pelari pertama dan juga penjaga gol. Itu adalah perkara positif yang kita dapat dari perlawanan ini.

“Kita memperolehi jaringan daripada gol padang, pukulan sudut penalti dan penalti stroke. Kita hanya mendapat dua pukulan sudut penalti yang nyata tidak mencukupi. Perlawanan seperti ini memerlukan banyak pukulan sudut penalti tetapi kita kurang masuk ke dalam kawasan mereka dan kurang pergerakan tanpa bola.

“Selain itu banyak kesilapan yang dilakukan akibat daripada emosi pemain dan mereka gagal mengawalnya serta kurang kepercayaan diri namun untuk perlawanan seterusnya kami akan turun untuk melupakan kekalahan dan emosi ini dan hanya satu sahaja yang kita mahukan iaitu kemenangan,” katanya selepas perlawanan.

Malaysia kini hanya akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-13 hingga ke-16 menentang sama ada tuan rumah, India atau Jepun pada 28 Januari 2023.