FOTO : MFL

JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan untuk mara ke suku akhir selepas menewaskan PDRM FC 3-0 pada aksi Pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu meraih kemenangan kesembilan berturut-turut di bawah era Estaban Solari termasuk saingan Liga Super.

Pemilik kelab,  Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, hadir ke stadium memberikan tanda sokongan buat pemain JDT yang bermain penuh bersemangat serta dibantu sorakan penyokong setia.

Penjaga gawang, Farizal Marlias kembali ke padang perlawanan pertama musim ini dan seperti biasa berjaya mencatat clean sheet sepanjang 90 minit permainan.

Tidak menunggu lama, JDT terus mengasak hebat gawang pelawat sebaik wisel permulaan. Hasilnya, penyerang import yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim lepas, Bergson Da Silva membuka akaun jaringan seawal minit ketiga, hasil tandukan menewaskan penjaga gawang The Cops, Aqil Razak.

Tersentak dengan gol berkenaan, kesebelasan pelawat dilihat cuba bangkit dengan mengatur asakan ke gawang tuan rumah namun berjaya dikekang benteng pertahanan.

JDT menambah jaringan pada minit ke-12 apabila Bergson berjaya melepasi kawalan lawan untuk gol kedua peribadi malam ini disusuli sumbangan Leandro Velazquez yang turut memahat nama pada m-27.

Perlawanan selepas itu dilihat lebih banyak berlegar di tengah padang dengan kedua-dua pasukan dilihat gagal menembusi benteng pertahanan lawan masing-masing hingga tamat babak pertama.

Harimau Selatan dilihat semakin menggandakan asakan pada babak kedua dalam usaha menambah jaringan, namun beberapa percubaan ke pintu gol gagal menepati sasaran.

Mereka kini sedang menanti pemenang antara Kuching City atau Penang yang akan turun ke gelanggang malam esok.