HASRAT Perak FC untuk membuktikan magis pertandingan piala itu wujud tidak kesampaian apabila tewas kepada Sri Pahang 1-2 pada peringkat pertama Piala FA sekaligus tersingkir dari kejohanan kalah mati itu.
Sri Pahang bangkit pada 10 minit terakhir perlawanan dengan dua jaringan oleh Malik Mat Ariff dan Stefano Brundo untuk mengecewakan Perak sekaligus layak ke peringkat 16 pasukan terbaik.
Pada perlawanan tersebut, setelah buntu untuk menjaringkan gol dalam dua perlawanan terdahulu, Christian Obiozor akhirnya membuka tirai jaringan buat anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim selepas 34 minit permainan hasil rembatan kencang dari dalam kotak penalti.
PIALA FA 2023
FT: Perak FC 1-2 Sri Pahang FC
⚽ Christian Obiozor 34'
⚽ Malik Mat Ariff 82', Stefano Brundo (P) 90'+5*Sri Pahang layak ke pusingan 16 terbaik #PialaFA2023#KejorYobKejor#HogohPahangHogoh pic.twitter.com/xtFxcLgdUE
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 8, 2023
Izham Tarmizi kembali semula menggalas tugas menjaga gawang Sri Pahang selepas mengalami kecederaan ketika bertemu Negeri Sembilan beraksi cemerlang menyekat beberapa percubaan berbahaya Perak terutama selepas skuad Seladang mendapat gol yang pertama.
Kpah Sherman juga memiliki beberapa percubaan untuk mencari gol penyamaan namun gagal menemui sasaran selain ketangkasan Bryan See di gawang The Bos Gaurus.
Perak terpaksa mengharungi 20 minit terakhir perlawanan dengan 10 pemain selepas Fadhil Idris dilayangkan kad merah ekoran kekasaran kad kuning kedua yang dilakukan untuk menyekat barisan serangan Sri Pahang.
Dengan kelebihan seorang pemain, Sri Pahang menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan dan akhirnya Malik Mat Ariff berjaya menggegar gawang Perak pada minit ke-82 hasil dari sepakan sudut.
Ketika perlawanan hampir dilanjutkan ke masa tambahan, Sri Pahang dihadiahkan sepakan penalti selepas kekasaran dilakukan pemain Perak dalam kotak penalti dan Stefano Brundo mudah menewaskan Bryan See untuk gol kemenangan Tok Gajah.
Anak-anak buah Fandi Ahmad kini menempah tempat ke peringkat 16 terbaik dan bakal bertemu Selangor FC di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada 15 April 2023 manakala skuad muda Perak terpaksa akur mereka tersingkir pada minit-minit terakhir perlawanan.