PENGENDALI pasukan Johor Darul Ta’zim, Hector Bidoglio mengakui perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC antara aksi yang sukar.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman itu menyaksikan aksi yang penuh dramatik dengan beberapa kali bola hampir menemui jaring namun terkena palang.
“Ya, jelas kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi ia adalah perlawanan yang sangat baik pada pendapat saya. Kami bermain dengan sangat baik begitu juga pasukan lawan,” katanya dalam sidang media di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Dalam perlawanan tersebut, JDT terlepas beberapa peluang emas di separuh masa pertama dan kedua. Namun, Bidoglio tetap berpuas hati dengan prestasi pemainnya.
“Saya suka dengan persembahan pasukan, pemain saya dan ini adalah langkah yang baik. Sekarang kami perlu bermain di tempat sendiri dengan sokongan peminat kami,” tambahnya.
Dia juga mengulas mengenai separuh masa kedua yang menurutnya lebih mencabar.
“Perlawanan ini sukar kerana Kedah mempunyai pasukan yang sangat baik dan bermain dengan sangat baik. Tetapi bagi kami, ia adalah pengalaman yang baik. JDT bermain dengan sangat baik, menggerakkan bola dari satu sisi ke sisi lain, mencari ruang kosong. Kami mempunyai banyak peluang,” jelasnya.

Mengenai suasana di stadium sendiri selepas ini, dia yakin pasukannya boleh memberikan persembahan yang lebih baik.
“Stadium kami adalah cerita yang berbeza. Peminat kami adalah luar biasa. Padang kami berbeza jadi kami perlu bermain perlawanan kedua dan kami perlu menang. Yang paling penting bagi kami adalah memperbaiki permainan demi permainan. Kami mempunyai skuad yang sangat bagus jadi kami perlu memperbaiki setiap perlawanan,” katanya.
“Saya berpuas hati kerana saya suka apabila pemain saya bermain dengan pengorbanan, teratur, kompak, dinamik. Perlawanan ini dinamik dan intens. Saya suka jenis permainan ini,” tambahnya.
Menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala FA nanti, Bidoglio yakin JDT mempunyai peluang yang baik untuk mempertahankan gelaran juara.
“Kami mempunyai banyak peluang untuk bermain, untuk menjadi kompetitif. Kami bekerja keras untuk menjadi kompetitif dan bermain semua perlawanan. Kami perlu menjadi protagonis,” katanya.