SANG Penyu membawa bekalan jaringan berharga ke separuh akhir kedua Piala FA 2024 apabila menewaskan Selangor FC 3-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Jumaat malam.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad Penyu bermula garang namun tersentap dengan percubaan awal oleh pasukan pelawat yang mula mengatur gerakan dan nyaris mengejutkan tuan rumah.
Terengganu FC terus membuktikan kekuatan mereka beraksi di hadapan stadium yang penuh dan rembatan padu Safawi Rasid pada minit ke-30 berjaya membolosi tepat ke gawang gol The Red Giants.

Tidak cukup satu, sepakan padu dari Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-35 berjaya menghadiahkan gol kedua buat Terengganu FC sekali gus meletakkan mereka selesa di hadapan.
Namun selang beberapa minit kemudian, Selangor FC berhasil membuka jaringan pertama mereka menerusi penyerang importnya, Alvin Mateus Fortes pada minit ke-38, sejurus membiarkan tekanan dirasai pada separuh masa pertama dengan keputusan 2-1.
Bermula babak kedua perlawanan, anak buah Nidzam Jamil tampil memperkemas prestasi untuk kembali bangkit menyamakan jaringan dengan tuan rumah, dan satu ledakan Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-47 telah merealisasikan impian mereka.
Begitupun kedua-dua pasukan tampak semakin tertekan untuk memburu jaringan ketiga setelah terikat 2-2, Sang Penyu tampil mencuri peluang dengan jaringan yang dibuat oleh Ismaheel Akinade pada minit ke-69.

Sorakan daripada 31,689 penyokong yang hadir di Gong Badak malam ini terus bergema setelah Akinade berjaya menjaringkan gol ketiga buat pasukan tuan rumah sekali gus mengakhiri perlawanan tersebut dengan keputusan 3-2.
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner bakal melakukan perhitungan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium MBPJ pada 3 Ogos, sekali gus menyaksikan penentuan siapakah yang layak melangkah ke pentas akhir Piala FA 2024 bertemu sama ada Johor Darul Ta’zim atau Kedah Darul Aman FC.