SAINGAN Piala Malaysia musim 2022 yang bakal bermula pada 25 Oktober 2022 ini akan menyaksikan 16 pasukan terbaik dari Liga Super dan Liga Premier merebut piala berprestij dan satu tiket ke Piala AFC 2023.
Selepas menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini sedang mengintai peluang untuk menjulang Piala Malaysia sekaligus melengkapkan misi ‘Quadruple’ sekaligus melengkapkan tahun gemilang mereka.
Sejak ditubuhkan pada 2013, JDT tidak pernah memenangi keempat-empat gelaran domestik dan kini akan membuka saingan bertemu pasukan yang sering mengecewakan mereka, Petaling Jaya City FC.
3 TROPHIES IN 2022#thePioneersJDT#theNINTH#TripleHattrick#WinnersCircle#JDTFamily#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/tZcGeuZu8P
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) October 18, 2022
Dalam aksi Liga Super sebelum ini, JDT diikat PJ City di Petaling Jaya 2-2 dan ini memberikan keyakinan kepada pasukan kendalian P.Maniam untuk melakar kejutan terbesar dalam saingan Piala Malaysia.
Aksi kalah mati dengan dua perlawanan ini akan memberikan peluang kepada kedua-dua pasukan untuk layak ke suku akhir tetapi di atas kertas JDT berkelebihan terutama ketika aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim pada 31 Oktober 2022.
Jurulatih JDT, Hector Bidoglio pastinya mahu melakar sejarah peribadi muncul pengendali terpantas memenangi tiga piala dalam tempoh hanya tiga bulan bersama Harimau Selatan.
Dengan kekuatan barisan serangan diterajui penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri serta Arif Aiman Hanapi, JDT dilihat adalah satu kuasa yang sukar digugat.
Pemenang perlawanan pusingan 16 terbaik ini nanti akan bertemu pemenang antara Sarawak United dan Kelantan di suku akhir dengan tiket ke separuh akhir pula menjadi taruhan buat kedua-dua pasukan.