PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo berkata Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur akan dirobohkan susulan Tragedi Kanjuruhan yang mengorbankan 133 orang.

Jokowi berkata kerajaan akan membina semula stadium itu. Beliau telah menyampaikan idea itu kepada Presiden FIFA Gianni Infantino.

“Stadium Kanjuruhan di Malang juga akan dirobohkan dan kita akan bangun semula mengikut standard FIFA,” kata Jokowi di Istana Presiden Jakarta, pada Selasa dipetik dari CNN Indonesia.com.

Beliau berkata Stadium Kanjuruhan baharu akan menjadi contoh standard stadium yang baik. Keselamatan penonton dan pemain di dalam stadium akan terjamin.

Pada kesempatan itu, Jokowi mendedahkan beberapa perbincangan dengan Gianni. Beliau berkata perbincangan tertumpu kepada standard keselamatan dalam stadium.

“Dengan pengurusan stadium terutama yang berkaitan kemudahan stadium, apakah standardnya. Kedua, juga berkaitan pengurusan keselamatan, pengurusan keselamatan, kita juga akan bincang secara terperinci,” katanya.