MELAKA Mousedeer mencipta kejutan selepas muncul pemenang tempat ketiga Sooka Super Series Volleyball (SSSVB) 2022 dengan mengejutkan Amelia Indonesia 3-0.

Kemenangan 25-18, 25-20, 25-9 itu ternyata satu bonus buat Melaka Mousedeer yang hanya mensasarkan untuk mara ke separuh akhir.

Ketua Jurulatih Melaka Mousedeer, Muhammad Ammar See Abdullah berkata, ketenangan menjadi tunggak kemenangan anak buahnya hari ini, sekali gus menterbalikkan keputusan di pusingan awal yang menyaksikan pasukannya tewas kepada Amelia Indonesia 2-3.

“Kita juga berpeluang menang ketika menentang Sabah Rhino di separuh akhir dan dari pengamatan perlawanan terbabit, saya minta pemain bermain lebih tenang dan tidak tergopoh gapah mahu menamatkan permainan.

“Akhirnya, kita dapat keputusan positif dan menang 3-0,” kata Ammar.

Pemain Amelia Indonesia cuba menyelamatkan bola dalam aksi penentuan tempat ketiga menentang Melaka Mousedeer.

Dia berkata,  separuh daripada pemainnya masih muda dan beraksi di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Justeru, dia berharap Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mempunyai perancangan bagi memastikan bakat yang ada tidak disia-siakan.