STADIUM Sultan Ibrahim pada malam esok bakal menjadi saksi pasukan manakah yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022.
Johor Darul Ta’zim (JDT) yang miliki reputasi sebagai kelab paling berjaya musim ini dengan telah memenangi tiga kejuaraan menanti kunjungan Sabah FC yang dalam misi melakar kejutan.
Tetapi, rekod saingan liga musim ini di Iskandar Puteri menunjukkan mana-mana pasukan yang hadir akan pulang hampa dan merana.
Anak didik Hector Bidoglio itu cukup gah dalam kempen Piala Malaysia termasuk membaham Kelantan FC dengan agregat besar 8-0 di suku akhir.
Namun, ketika bertemu Sabah hanya satu gol berjaya di bawa pulang dalam perlawanan penuh tegang di Likas termasuk Feroz Baharudin yang dibuang padang.
Namun begitu, ia pasti tidak meresahkan kem Harimau Selatan kerna masih miliki sejumlah pemain berkualiti yang boleh diturunkan pada bila-bila masa.
Berbeza di kem The Rhinos yang dibelenggu masalah kecederaan pemain, pengendalinya Datuk Ong Kim Swee pastinya akan sedikit sukar untuk menentukan siapakah yang bakal menjadi kesebelasan utama Sabah.
Tetapi jelas Kim Swee dalam sidang media baru-baru ini, siapa pun yang diturunkan pastinya akan memberikan aksi terbaik kerana bukan mudah untuk mendapat peluang beraksi menentang pasukan terbaik di Malaysia ketika ini sekaligus menjadi momen terbaik untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
ARTIKEL BERKAITAN : Kim Swee cari solusi, tidak fikirkan kecederaan pemain Sabah
JDT sememangnya pasukan pilihan dalam perlawanan ini tetapi apa jua boleh terjadi ketika di dalam padang dengan Sabah yang tidak mempunyai tekanan pastinya akan menampilkan aksi baik berbanding ketika di Likas.