SELANGOR FC mengalami nasib malang berganda apabila dua penalti Sri Pahang FC menyaksikan mereka tewas 1-2 seterusnya tersingkir daripada saingan Piala Malaysia menerusi aggregat 2-3 dan akan bersaing di Piala Cabaran.

Selepas tewas kepada Muangthong United dalam aksi Liga Juara-Juara AFC 2 pada Khamis yang menyaksikan mereka memilih laluan sukar ke peringkat 16 terbaik, lebih 7,000 penyokong yang hadir ke Stadium MBPJ seakan tidak percaya dengan nasib yang melanda Gergasi Merah.

Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi merehatkan penyerang utama, Ronnie Fernandes dari barisan pemain dengan tugas serangan diletakkan kepada pemain antarabangsa Jordan, Ali Olwan.

Corak permainan agresif yang dituntut Kinoshi menyaksikan Selangor banyak menyerang sejak wisel permulaan namun hampa dengan ketumpulan penyudah selain kekentalan barisan pertahanan Sri Pahang.

Ketika rancak menyerang, Selangor dihukum dengan sepakan penalti buat Sri Pahang selepas Harith Haiqal didapati mengasak lawan yang diteliti menerusi video bantuan pengadil dan Manuel Hidalgo mudah menyempurnakannya.

Penyokong Selangor bergembira seketika apabila Ali Olwan dilihat berjaya menyamakan kedudukan namun gol itu dibatalkan kerana Faisal Halim terlebih dahulu dikesan berada dalam keadaan ofsaid.

Namun, Selangor kembali menyalakan harapan ke suku akhir apabila Safuwan Baharudin menyamakan kedudukan namun kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Sri Pahang sekali lagi diberikan sepakan penalti.

Sergio Aguero mudah menewaskan Azim Al Amin untuk gol kedua sekaligus gol kemenangan buat Sri Pahang seterusnya menggembirakan penyokong-penyokong Tok Gajah yang hadir.

Kemenangan ini menyaksikan skuad kendalian Fandi Ahmad ini akan bertemu Perak FC manakala Selangor FC terpaksa menelan kepahitan tersingkir ke Piala Cabaran buat pertama kali dalam sejarah kelab.