KEINGINAN untuk terus menjulang piala dan mencipta ‘double quadruple’ tidak pernah padam dalam kamus Johor Darul Ta’zim dan kini mereka mahu meneruskan legasi itu apabila menyingkap tirai Piala Malaysia menentang Kelantan FC pada Jumaat.
Di atas kertas, lawan JDT nampak mudah apabila berdepan pasukan tercorot Liga Super, Kelantan FC pada aksi pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhamad IV, di Kota Bharu yang boleh dianggap sebagai pertemuan umpama ‘langit dan bumi’.
Namun pengendali JDT, Esteban Solari tetap menganggap Kelantan adalah lawan yang sukar dan dia tidak mahu memandang rendah cabaran yang diberikan skuad The Red Warriors jika mereka mahu mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lepas.

Dia juga akan menggunakan kesempatan ini untuk merehatkan beberapa pemain utama untuk memberikan minit permainan kepada pemain-pemain lain yang sentiasa sedia menggalas tugasan apabila khidmat mereka diperlukan.
“Ia pertandingan yang penting bagi kami dan selaku juara bertahan kami mahukan kejuaraan ini buat kali kedua dan semestinya saya akan membuat persiapan yang rapi selain memperkemaskan lagi corak permainan walaupun kami di palit dengan kecederaan pemain .
“Untuk aksi Piala Malaysia, kemungkinan akan ada rombakan dalam kesebelasan utama selepas kami kerap menurunkan pemain yang sering berada di skuad utama dan mereka perlu rehat kerana mengharungi jadual perlawanan yang ketat.

“Akan ada penggiliran pemain dan akan turunkan barisan terbaik malah tindakan menggilir pemain bukan bererti kami tidak serius mempertahankan kejuaraan itu sebaliknya ia sudah disasarkan bagi memburu piala berprestij berkenaan.
“Seperti saya pernah katakan, kami ada 29 pemain dan mereka tidak pernah mengecewakan dalam sesi latihan jadi saya kena beri mereka peluang beraksi malah setiap aksi yang kami harungi amat penting tidak kira lawan dengan pasukan bawahan atau sebaliknya,” kata Solari.
Sebagai rekod, pertemuan JDT dan Kelantan FC dalam Liga Super jelas memihak skuad Harimau Selatan yang mudah tewaskan pasukan The Red Warriors 5-1 pada aksi di Iskandar Puteri dan 5-0 pada aksi pusingan kedua di Kota Bharu Julai lalu.