HANYA penambahan satu atlet menjadikan keseluruhan 294 yang akan menggalas cabaran ke Sukan Asia Hangzhou 2022 pada 23 September hingga 8 Oktober depan.
Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt berkata, hanya berlaku satu lagi penambahan akhir atlet dari sukan karate selepas atlet berusia 20 tahun, Zakiah Adnan meraih pingat gangsa pada Kejohanan Karate Asia di Melaka pada bulan lalu.
“Ketika ini hanya seramai 294 akan mewakili kontinjen negara ke Hangzhou nanti dan hanya satu penambahan dari sukan karate. Zakiah akan pergi ke Hangzhou di bawah kategori A (ditanggung sepenuhnya).

Kejayaan memenangi pingat gangsa di Kejohanan Karate Asia di Melaka, membolehkan Zakiah Adnan tersenarai ke Sukan Asia Hangzhou 2022.
“Jadi, jumlah keseluruhan kontinjen Malaysia adalah 402 terdiri daripada atlet dan pegawai,” katanya, ketika melakukan kunjungan pertama sebagai CDM ke kem latihan skuasy dan wushu di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Kim Fatt yang juga presiden wushu memberitahu, seramai tujuh atlet wushu yang menggalas cabaran di temasya itu, akan berkampung di Beijing selama sebulan sebelum berlepas ke Hangzhou.
Katanya, persiapan rapi itu perlu dibuat memandangkan mereka meletakkan impian untuk membawa pulang sekurang-kurang sebutir pingat biarpun mengakui bakal berdepan cabaran hebat pasukan tuan rumah dari China, Macau, Hong Kong dan juga Taiwan.
“Kita akui saingan di China nanti pasti mencabar, jadi kita mengambil inisiatif untuk menghantar atlet wushu ke China agar mental dan fizikal lebih baik tanpa gangguan. Jadi, kita harap atlet wushu mampu tampil baik pada sesi latihan sebulan di Beijing sebelum bersaing pada temasya sebenar nanti di Hangzhou,” ujarnya.