BEKAS pemain Johor, Hasnizam Uzir menyifatkan kejohanan Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mampu melahirkan jelmaan Luqman Hakim dan Mukhairi Ajmal yang telah mencipta nama dalam persada bola sepak ketika ini.
Mengakui kejohanan Piala MFL adalah pentas terbaik buat pemain muda ia juga secara tidak langsung boleh dianggap medan buat jurulatih-jurulatih tempatan membuktikan kemampuan.
“Secara peribadi saya memang menyokong penuh penganjuran Piala MFL ini, satu keputusan bijak dalam usaha kita memastikan ekosistem bola sepak tempatan tidak ketandusan bakat-bakat muda.
“Piala MFL ini juga akan menjadi platform terbaik kepada pemain-pemain muda bagi memperagakan bakat mereka sekali gus mengekalkan kecergasan mereka di tahap kompetitif untuk sepanjang musim.

Mukhairi Ajmal antara permita muda yang semakin menyerlah ketika ini. (Foto : Selangor FC)
“Pendedahan awal dań memberikan lebih banyak minit permainan kepada mereka, jadi tidak mustahil melalui kejohanan ini akan lahir jelmaan mahupun ‘klon’ Luqman Hakim mahupun Mukhairi Ajmal,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Lebih dikenali sebagai pemerhati sukan bola sepak tempatan, Hasnizam juga percaya gudang pemain berbakat akan tercipta jika diuruskan secara berkesan dan mengikuti perancangan.
“Sebenarnya diluar negara, konsep seumpama ini sudah lama dijalankan untuk memastikan bakat-bakat baharu dicungkil dan dibawa ke peringkat lebih tinggi (skuad utama),” katanya.
Piala MFL pada diperkenalkan Rabu lalu yang melibatkan 15 pasukan termasuk Skuad Projek FAM-MSN dengan saingan akan dipecahkan kepada dua kumpulan.
Kumpulan A memperlihatkan 8 pasukan bakal bersaing iaitu Skuad Projek FAM-MSN, PDRM FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC, Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Terengganu FC II, Sabah FC dan Kelantan United FC.
Sementara itu baki tujuh lagi pasukan membabitkan Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Perak FC II, Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC, Kuching City FC dan Kelantan FC akan bermain di Kumpulan B.
Di bawah format Piala MFL yang menjadi platform kepada pemain Bawah 23 tahun, semua pasukan boleh mendaftarkan lima pemain senior tempatan melebihi umur ( lahir sebelum tahun 2000) dan tiga pemain import pada sesuatu perlawanan dengan pasukan diberikan beberapa pilihan bagi menggunakan pemain senior dan import.
Daripada lima pemain senior tempatan yang didaftarkan, hanya tiga sahaja boleh bermain pada secara serentak jika pasukan tidak menurunkan pemain import.