EDISI kedua kejohanan hoki Piala Mirnawan yang bermula esok hingga 26 November, lebih bersifat antarabangsa, sekali gus menjadi medan terbaik pendedahan, kepada pemain muda negara dengan saingan pasukan dari luar negara.
Kejohanan membabitkan remaja bawah 17 tahun itu, menyaksikan lima pasukan lelaki dan enam pasukan wanita mengambil bahagian kali ini, dengan masing-masing dua pasukan dari Malaysia.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kejohanan jemputan antarabangsa terbabit, kini lebih terarah kepada menjadi platform buat negara menyediakan pelapis yang akan mengambil alih skuad Piala Dunia Remaja akan datang.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Datuk Seri Subahan Kamal mahu Piala Mirnawan terus berkembang dan menjadi kejohanan jemputan peringkat remaja yang ditunggu-tunggu.
“Ini (Piala Mirnawan) bukan semata-mata merebut trofi namun lebih kepada pendedahan. Saya mahu mereka merasai bahang pertandingan antarabangsa.
“Kebanyakan pemain yang mewakili Malaysia adalah dalam lingkungan 16 tahun memandangkan piala dunia remaja ketika ini berlangsung setiap dua tahun sekali, maka kita ada cukup masa untuk menggilap bakat mereka mewakili negara sama ada dalam masa dua tahun atau empat tahun dari sekarang,” katanya, pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Datuk Mirnawan Nawawi bersama Piala Mirnawan yang menjadi rebutan pada edisi kedua, 2023.
Untuk rekod, Hoki Piala Dunia Remaja membabitkan atlet berumur 21 tahun dan ke bawah, kini dianjurkan dua tahun sekali, berbanding sebelumnya, empat tahun sekali.
Saingan Piala Mirnawan 2023, akan berlangsung di Stadium Hoki KPM Lembah Pantai akan menampilkan lima pasukan lelaki serta enam pasukan untuk saingan wanita.
Bagi kategori lelaki, Malaysia menghantar dua pasukan iaitu Malaysia Speedy Tigers (A) dan Malaysia Speedy Tigers (B) yang bakal berentap dengan Afrika Selatan, Persatuan Hoki Odisha dari India serta Australia All Star.
Saingan wanita pula membabitkan pertarungan antara Malaysia Speedy Tigress (A), Malaysia Speedy Tigress (B), Afrika Selatan, Persatuan Hoki Odisha dari India, Australia All Star dan Jepun.