KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon telah menambah satu lagi kuota kapten skuad kebangsaan kepada empat orang menjelang Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Dua nama baharu yang diumumkan bakal menggalas tugas sebagai kapten adalah Selangor FC, Brendan Gan dan pemain Terengganu FC, Faisal Halim selain dua kapten semasa iaitu Dion Cools dan Safawi Rasid.

Perkara ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan media rasmi yang dikeluarkan pada Rabu.

“Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon telah melantik Brendan Gan dan Faisal Halim untuk bersama-sama Dion Cools dan Safawi Rasid sebagai kapten skuad Harimau Malaya bagi kem latihan pusat kali ini sebagai persiapan menghadapi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

“Dion dan Safawi sebelum ini bersama Syafiq Ahmad merupakan tiga kapten Harimau Malaya ketika kempen 48th King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand, September lalu tetapi dengan ketiadaan Syafiq bagi kem latihan pusat kali ini, Brendan dan Faisal telah dinamakan sebagai pengganti untuk membentuk gandingan empat kapten Harimau Malaya,” tulis kenyataan itu.

Empat pemain berpengalaman ini sudah pasti mampu menggalas tugasan penting ini bagi memastikan Harimau Malaya dapat beraksi cemerlang dalam kejohanan dwi tahunan yang bakal berlangsung pada 20 Disember 2022.

Untuk Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan Laos, Myanmar, Singapura dan Vietnam.