PENOLONG ketua jurulatih skuad Piala Presiden Kuala Lumpur City FC, Iqbal Hanafi Masduki menganggap keputusan seri 2-2 dalam aksi suku akhir menentang Negeri Sembilan adalah satu keputusan yang boleh dianggap sebagai tuah buat pasukannya.
Meskipun turun sebagai tuan rumah di Stadium UM Arena, Kuala Lumpur City yang layak ke suku akhir sebagai pasukan tempat kedua Liga 2 dipaksa bangkit dua kali untuk mengikat kedudukan menjelang aksi suku akhir kedua nanti.
“Keputusan ini boleh dianggap sebagai bernasib baik kerana kami dapat bangkit setelah ketinggalan dua kali. Perkara positif yang dapat diambil adalah pemain dapat menerapkan perancangan yang ditetapkan dan kami akan gandakan latihan untuk mengelak daripada dibolosi gol mudah dan berharap kemenangan berpihak pada KL City di perlawanan suku akhir kedua nanti.
“Dua gol yang kami perolehi hari ini akan digunakan sebagai semangat untuk mendapatkan gol di Negeri Sembilan nanti kerana lawan mempunyai kelebihan gol di tempat lawan dan kami harap untuk menang sekurang-kurangnya satu gol,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.
Ditanya mengapa pasukannya kelihatan lambat untuk panas musim ini, Iqbal menyatakan ini adalah tahun pertama mereka bersama dan para pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan kini persefahaman itu semakin baik.
“Ini adalah tahun pertama saya bersama pasukan ini dan pemain perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan taktikal yang saya terapkan dan kini sudah nampak hasilnya,” jelasnya.

Iqbal mengarahkan pemainnya dari tepi padang
KL City akan berkunjung ke Negeri Sembilan untuk suku akhir kedua pada 4 September bagi menentukan tempat ke separuh akhir menentang sama ada Sri Pahang atau Selangor.