SKUAD Piala Sudirman negara cemerlang lepasi ujian pertama dalam kumpulan C, apabila meraih mata pertama mengatasi Australia.
Dalam aksi pembukaan di Suzhou Olympic Centre, China itu, pasukan campuran negara diketuai Tan Kian Meng dimulakan dengan perlawanan beregu campuran antara Goh Soon Huat-Shevon Lai menentang Kenneth Choo-Gronya Sommerville.
Gandingan di ranking kelapan dunia itu tidak menghadapi masalah untuk menghadiahkan mata pertama buat pasukan dengan kemenangan 21-17, 21-14 dalam masa 28 minit.

Goh Soon Huat-Shevon Lai hadiahkan mata pertama buat skuad negara.
Lee Zi Jia menghadiahkan mata kedua, mengatasi Ricky Tang 21-3, 21-13, namun K Letshanaa bergelut di awal permainan sebelum berjaya mengatasi Tiffany Ho 21-19, 21-12 dalam masa 41 minit.
Pengarah kejurulatihan beregu Rexy Mainaky yang mengiringi pemain ke Suzhou berkata, Letshanaa bermula perlahan kerana dalam masih berada dalam proses pemulihan dari demam yang dialami sebelum bertolak ke China lagi.

K Letshanaa masih dalam proses pemulihan dari demam.
“Semua main ok hari ini, good start for team, hanya Letshanaa baru recovery, sedikit perlahan,” kata Rexy.
Tambah beliau, semua pemain sudah bersedia menghadapi cabaran menentang India, esok.
Sementara itu, mata keempat negara disumbang beregu ranking ketiga dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan Rayne Wang-Jack Yu, 21-7, 21-14 dalam masa 24 minit.
Pearly Tan-M Thinaah yang turun sebagai pemain terakhir diberi tentangan oleh Kaitlyn Ea-Gronya Sommerville sebelum mencapai kemenangan 21-12, 21-13.

Pearly Tan-M Thinaah gembira hadiahkan mata buat negara.
“Saya gembira dapat kembali ke gelanggang selepas sebulan tak beraksi kerana demam,” kata Pearly.
Sementara Thinaah pula berkata: “Selepas terpaksa mengenepikan kem bina diri, saya tetap gembira kerana saya dan Pearly perlu jalani Latihan di gelanggang. Ini adalah permulaan baik buat kami dan kami mahu tingkatkan momentum.”
Dalam pada itu, agak mengejutkan apabila Taiwan menang mudah ke atas India 4-1 dalam satu lagi aksi kumpulan C.