THE Speedy Tigers memulakan kempen Piala Sultan Azlan Shah 2024 dengan langkah kiri apabila tumpas kepada Pakistan dengan keputusan 4-5 dalam perlawanan yang penuh dramatik.
Pakistan mendahului perlawanan seawal minit ke-9 apabila Sufyan Khan menjaringkan gol pukulan sudut penalti.
Malaysia kemudian menyamakan kedudukan sebelum suku pertama habis apabila Azrai Aizad Abu Kamal berjaya menjaringkan gol padang pada minit ke-13.
Azrai kemudian memberikan The Speedy Tigers gol kedua hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-28. Beliau sekali lagi menjaringkan gol untuk Malaysia pada minit ke-45 untuk melebarkan jurang gol antara lawan.
Sufyan Khan kembali memberikan harapan untuk Pakistan apabila menjaringkan gol hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-50 sebelum Zikriya Hayat menjaringkan gol hasil serangan balas pada minit ke-53.
Dengan kedudukan semasa 3-3, penyokong memberikan sokongan yang penuh kepada pemain Malaysia untuk mencari gol kemenangan.
Shello Silverius menjadi watak utama dalam kalangan penyokong apabila menjaringkan gol keempat buat Malaysia pada minit ke-58.
Dengan baki masa permainan yang ada, Pakistan melancarkan serangan ke arah pintu gol Malaysia dan mereka berjaya memperoleh pukulan sudut penalti kurang 2 minit sebelum wisel ditiupkan.
Sufyan Khan sekali lagi menjaringkan gol buat Pakistan hasil pukulan sudut penalti, dengan kedudukan semasa 4-4 ketika itu.
Malaysia cuba melancarkan serangan pada minit terakhir perlawanan namun mereka kehilangan bola dan terpaksa melakukan foul dalam garisan pukulan.
Abu Bakar Mahmood menjadi hero buat Pakistan apabila berjaya menjaringkan gol kelima hasil penalty stroke pada minit terakhir perlawanan untuk memberikan Pakistan kemenangan bermakna.
Bagi Malaysia, ini merupakan satu keputusan yang agak menyakitkan apabila mereka melakukan kesilapan pada 10 minit terakhir dikala mereka masih lagi mendahului perlawanan ketika itu.
The Speedy Tigers akan cuba menebus kekalahan ini apabila mereka akan bertemu dengan pasukan Kanada pada jam 8.30 malam manakala Pakistan akan bertemu dengan Korea Selatan pada jam 6.15 petang.