MALAYSIAN Tigers tiada masalah ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023, selepas membenam cabaran Korea 1-0 pada aksi terakhir pusingan round robin di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai.
Jaringan tunggal menerusi Azrai Aizad Kamal itu membolehkan skuad negara mengumpul 12 mata daripada lima perlawanan, hasil empat kemenangan dan satu tewas.
Skuad bimbingan A Arulselvaraj berpeluang melakar sejarah muncul juara kali pertama kejohanan jemputan itu, namun perlu melepasi cabaran pasukan yang sama, iaitu Korea di separuh akhir, pada perlawanan yang dijadualkan esok.

Azrai Aizad Kamal ketika menjaringkan gol tunggal perlawanan yang membawa kepada kemenangan skuad negara ke atas Korea. -Pix AHF/Hockey India
“Tempoh rehat sehari, akan digunakan sebaiknya dan pemain akan turun padang selama satu jam esok (hari ini) untuk mengasah ketajaman pukulan sudut penalti.
“Bertemu Korea, kita akan keluar bermain seperti hari ini (semalam),” kata Arul.
Mengulas mengenai perlawanan terakhir round robin itu, Arul memuji barisan pemain yang menunjukkan semangat sepasukan tinggi.
“Pemain turun dengan energi tinggi, kita menguasai lebih 55 peratus perlawanan dan menunjukkan formasi serangan yang diinginkan selain mereka lebih berkeyakinan menerima dan bergerak dengan bola,” katanya.

Kapten Malaysian Tigers, Razie Rahim menunggu pertahanan Najib Hassan menghantar bola sambil cuba disekat pemain Korea. -Pix AHF/Hockey India
Tambah Arul, prestasi skuad negara cukup memberangsangkan pada kejohanan ini selepas menjaringkan lapan gol padang daripada empat kemenangan, selain mendapatkan banyak pukulan sudut penalti.
Jika berjaya mengatasi Korea esok, ia bukan hanya membawa skuad negara ke final, malah meningkatkan lagi keyakinan Malaysian Tigers yang diundi satu kumpulan dengan pasukan itu pada temasya Sukan Asia Hangzhou bulan depan.
Terdahulu, Malaysia mencapai kemenangan 1-0 ke atas Korea hasil jaringan tunggal daripada Azrai Aizad Kamal menerusi gol padang pada minit ke-22.