KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) selepas mencatatkan kemenangan dramatik ke atas Ulsan Hyundai mendapat perhatian banyak pihak.

Menerusi laman Instagram OfficialJohor, bekas pemenang Piala Dunia 2018, Lukas Podolski tidak ketinggalan  mengucapkan tahniah kepada pemilik JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bekas pemain Jerman itu dilihat membalas hantaran balas TMJ yang nyata gembira dan bersyukur dengan kejayaan bersejarah JDT di pertandingan kelab terbaik Asia itu.

Hubungan Podolski dan Tunku Ismail sememangnya rapat dengan pemain Jerman itu pernah melawat Ibu Pejabat JDT dan Stadium Sultan Ibrahim pada 2020 lalu.

Kemenangan ini melonjakkan kedudukan JDT di dalam ranking kelab Asia apabila kini JDT berada di tempat keempat Asia Timur selepas Korea Selatan, Jepun dan Hong Kong.

JDT bakal bersaing dalam peringkat 16 terbaik yang dijadualkan pada 18 atau 19 Ogos 2022 dengan lawan yang bakal ditentukan apabila kesemua perlawanan peringkat kumpulan tamat pada Ahad.