South Africa’s players take part in a pitch recognition at the Mexico City Stadium in Mexico City on June 10, 2026, on the eve of the 2026 World Cup football match between Mexico and South Africa. (Photo by Alfredo ESTRELLA / AFP)
Stadium Mexico City atau dikenali ramai sebagai Estadio Azteca bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi stadium pertama di dunia yang dipilih sebagai venue perlawanan pembukaan Piala Dunia buat kali ketiga.
Kejohanan Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada akan membuka tirainya pada 11 Jun dengan Mexico diberikan penghormatan beraksi dalam perlawanan pertama di hadapan penyokong sendiri.
Pemilihan stadium ikonik itu menambah satu lagi catatan bersejarah selepas pernah menjadi tuan rumah aksi pembukaan dan final Piala Dunia 1970 serta 1986.
Sebagai hos bersama, Mexico akan mengharungi ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan di laman sendiri. Selepas aksi pembukaan di Mexico City, mereka dijadualkan beraksi di Guadalajara sebelum kembali ke ibu negara untuk perlawanan terakhir kumpulan.
Selain menjadi venue aksi Mexico, stadium berkenaan turut dijadual menganjurkan beberapa lagi perlawanan termasuk saingan peringkat kumpulan serta pusingan kalah mati.
Piala Dunia 2026 bakal menjadi edisi terbesar dalam sejarah dengan penyertaan 48 pasukan dan 104 perlawanan yang akan berlangsung di 16 bandar merentasi tiga negara tuan rumah.
Stadium Mexico City sememangnya mempunyai nilai sentimental yang tinggi dalam sejarah bola sepak dunia apabila pernah menjadi pentas kepada dua final Piala Dunia yang menyaksikan legenda seperti Pele dan Diego Maradona mengukir nama dalam sejarah sukan itu.
Kini, hampir empat dekad selepas kali terakhir menjadi tumpuan dunia, stadium bersejarah tersebut sekali lagi bakal menjadi saksi kepada detik penting apabila Piala Dunia 2026 membuka tirainya di bumi Mexico.