Kredit Gambar: Thibaud Moritz/AFP

KEKALAHAN kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 bukan sahaja memadam impian Perancis untuk mempertahankan peluang memburu gelaran dunia, malah turut menutup tirai era Didier Deschamps sebagai pengendali Les Bleus selepas lebih sedekad menerajui pasukan itu.

Deschamps, yang sebelum ini mengumumkan Piala Dunia 2026 sebagai kejohanan terakhirnya bersama Perancis, mengakhiri tempoh 14 tahun penuh gemilang dengan rekod 120 kemenangan daripada 183 perlawanan sejak mengambil alih jawatan itu pada 2012.

Sepanjang tempoh berkenaan, beliau berjaya membawa Perancis muncul juara Piala Dunia 2018 selain membawa pasukan ke tiga penampilan di pentas separuh akhir kejohanan paling berprestij itu.

Kini, perhatian tertumpu kepada legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane, yang dijangka diumumkan sebagai pengurus baharu skuad kebangsaan dalam masa terdekat.

Menurut laporan ESPN, Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) dan Zidane telah mencapai persetujuan secara lisan sejak Mac lalu, dengan hanya beberapa perkara berkaitan struktur pengurusan serta barisan kejurulatihan masih perlu dimuktamadkan sebelum kontrak dimeterai.

Bekas kapten Perancis itu bukanlah nama asing dalam bola sepak antarabangsa. Zidane membantu negaranya muncul juara Piala Dunia 1998, ketika bergandingan bersama Deschamps di bahagian tengah, sebelum membina reputasi hebat sebagai jurulatih di peringkat kelab.

Ketika membimbing Real Madrid, pengendali berusia 53 tahun itu mencipta sejarah apabila membawa kelab gergasi Sepanyol tersebut menjulang tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) secara berturut-turut, selain memenangi dua gelaran La Liga.

Rekod cemerlang itu menjadikan Zidane calon paling sesuai untuk meneruskan legasi Perancis yang kekal berada dalam kelompok elit bola sepak dunia.

Dengan barisan pemain berkualiti seperti Kylian Mbappe, Eduardo Camavinga, Aurelien Tchouameni dan beberapa lagi bintang muda, Zidane dijangka menggalas tugas besar untuk membawa Les Bleus kembali mencabar kejuaraan utama pada kejohanan antarabangsa akan datang.