PASUKAN PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) berdepan tindakan daripada Malaysian Football League (MFL) selepas didapati gagal memenuhi keperluan Financial Fair Play (FFP) bagi penyerahan dokumentasi “In-Season” kelima musim 2025-2026.
Perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa First Instance Body (FIB) FFP MFL yang turut mendapati kedua-dua kelab berkenaan masih mempunyai tunggakan gaji kepada pekerja serta tunggakan melibatkan agensi kerajaan setakat April 2026.
Selain isu tunggakan, PDRM FC dan Kelantan TRW turut dikenakan denda RM10,000 setiap satu selepas gagal mengemukakan dokumen lengkap seperti yang ditetapkan di bawah Artikel 11 Peraturan FFP Musim 2025-2026.
Menurut FIB, kedua-dua kelab diberikan tempoh 14 hari bagi melengkapkan dokumen yang masih tertunggak serta mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian berhubung komitmen kewangan yang belum diselesaikan.
Tindakan itu diambil sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MFL untuk memastikan setiap kelab mengamalkan tadbir urus kewangan yang lebih bertanggungjawab dan mematuhi peraturan pelesenan serta FFP yang ditetapkan.
Jawatankuasa FIB menegaskan pemantauan terhadap kedudukan kewangan kelab-kelab Liga Malaysia akan diteruskan bagi memastikan kestabilan dan kelestarian bola sepak profesional negara dapat dipertahankan.